27 April 2017 - 18:34
Tehran, Moscow Dan Damsyik Ikrar Untuk Terus Memerangi Keganasan

Menteri Pertahanan Rusia, Iran dan Syria telah menyeru ketiga-tiga negara itu untuk memperkukuhkan kerjasama mereka di dalam peperangan ke atas keganasan. Di dalam masa yang sama mereka turut menekankan kepentingan untuk terus memerangi keganasan sehingga sebarang ancaman keganasan terhapus secara keseluruhan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Pertahanan Rusia, Iran dan Syria telah menyeru ketiga-tiga negara itu untuk memperkukuhkan kerjasama mereka di dalam peperangan ke atas keganasan. Di dalam masa yang sama mereka turut menekankan kepentingan untuk terus memerangi keganasan sehingga sebarang ancaman keganasan terhapus secara keseluruhan.

Pada hari Rabu, Menteri Pertahanan Iran, Brigadier Jeneral Hossein Dehqan menyertai dialog tiga penjuru dengan rakan sejawatnya dari Rusia dan Syria. Beliau, Sergei Shoigu dan Fahd Jassem al-Freiji bertemu di dalam mesyuarat yang dianjurkan di sisi Persidangan Keselamatan Antarabangsa Moscow yang ke-6.

Semasa dialog tersebut, ketiga-tiga pihak saling bertukar-tukar pandangan berhubung perkembangan situasi di Syria termasuk kempen anti-keganasan yang berjalan di negara yang dilanda konflik itu.

Mereka turut memanggil pihak yang hadir untuk melancarkan "usaha tertumpu" di kalangan mereka dalam rangka menghancurkan keganasan hingga ke akar umbi.

Ketiga-tiga menteri itu turut mengecam serangan peluru berpandu Washington ke atas pangkalan udara tentera Syria dan juga sokongan negara Barat itu kepada pihak pengganas. Mereka turut menggesa pihak terbabit untuk berhenti menyebarkan keganasan di Timur Tengah dan di rantau lain.

Pada Jun 2016, ketiga-tiga pegawai tentera itu telah mengadakan mesyuarat seumpamanya di Tehran di mana mereka bersetuju untuk meningkatkan kerjasama tiga penjuru dalam memerangi keganasan.

Syria telah dilanda krisis keganasan sejak tahun 2011 apabila kumpulan militan yang disokong oleh kuasa asing melancarkan operasi militansi di negara Arab itu.

Tehran dan Moscow adalah sekutu Damsyik di dalam usaha mereka mengekang dan menghancurkan gerakan keganasan antarabangsa.

/315